Subscribe to Our Newsletter

We know you love savings. Sign up for more!

Bajet Duit Raya 2026: Tips, E-Duit Raya & Elak Pokai

BY Nursabihah Zainuddin

Updated 17 Mar 2026




Follow Loanstreet on Facebook & Instagram for the latest updates.

 

Pejam celik, pejam celik, Hari Raya dah pun semakin dekat! Suasana meriah, rumah terbuka, dan semestinya… tradisi memberi duit raya. Betul, pemberian duit raya ini adat je, tapi kalau korang mampu nak bagi dan bersedekah secara tak langsung, apa salahnya.

 

Selain niat bersedekah, duit raya ni boleh jadi tanda ingatan dan penghargaan kita kepada orang tersayang pada hari perayaan yang cuma setahun sekali ni.

 

Tahun 2026 sudah tiba, dan dengan kos sara hidup yang makin mencabar, merancang bajet duit raya jadi lebih penting. Kalau tak dirancang elok-elok, duit raya yang sepatutnya bawa senyuman, boleh bertukar jadi beban kewangan lepas Raya. Dah lah tu, sekarang ni pun macam-macam cara nak bagi duit raya – bukan setakat sampul fizikal, e-duit raya pun dah jadi kebiasaan!

 

Bagi korang yang baru kali pertama nak berkongsi rezeki dengan bagi duit raya, ataupun masih pening kepala nak susun bajet tahun ni, jangan risau. Kami di Loanstreet ada panduan lengkap untuk korang. Jom teruskan membaca artikel ni!

 

Apa yang di 'cover' dalam artikel ni?


1. Macam Mana Nak Tetapkan Bajet Duit Raya Tanpa Sesak Nafas?


Bagi duit raya dgn not paling besar takut orang mengata - Vladamir Putin  Meme Generator
 

Haa... yang ni memang part paling penting! Sebelum korang excited nak sediakan duit raya, kena set dulu jumlah keseluruhan yang korang betul-betul mampu. Kalau main bagi je ikut sedap rasa, nanti hujung bulan boleh makan Maggi hari-hari sebab duit dah melayang. Kan dah tak syok Raya?

 

Tips ringkas untuk bajet duit raya:

 
  • Nilai kemampuan korang: Jujur dengan diri sendiri. Berapa baki duit gaji atau simpanan yang korang ada lepas tolak semua komitmen bulanan? Ingat, duit raya ni bukan hutang, jadi jangan sampai berhutang sebab nak bagi duit raya.
  • Gabungkan dengan bajet Raya lain: Duit raya hanyalah sebahagian daripada perbelanjaan Hari Raya. Ada kos baju raya, makanan, balik kampung, dan lain-lain. Pastikan bajet duit raya korang seimbang dengan keseluruhan perbelanjaan supaya tak terlebih bajet.
  • Tetapkan had maksimum: Contohnya, korang nak spend RM500 untuk duit raya tahun ni. Bila dah ada nombor ni, barulah senang nak agihkan nanti.
  • Jangan bandingkan dengan orang lain: Setiap orang ada kemampuan kewangan berbeza. Jangan rasa tertekan nak bagi jumlah yang sama macam kawan-kawan atau saudara mara. Yang penting, keikhlasan.
 

Dengan buat bajet awal, korang dapat elakkan diri dari terlebih belanja dan jejaskan pengurusan kewangan korang pada bulan seterusnya. Jadi, catat dulu berapa bajet yang korang ada ya!

 

2. Siapa Patut Dapat Duit Raya & Berapa Jumlah Sesuai Untuk 2026?


 
 

Benda ni mungkin nampak leceh, tapi bila korang dah listkan, proses bahagikan duit raya konfirm jadi lebih senang. Pembahagian ini juga membantu korang menguruskan bajet yang dah ditetapkan tadi.

 

Kebiasaannya, kami akan kategorikan penerima duit raya kepada beberapa kumpulan. Ini cadangan kami untuk tahun 2026, tapi ingat, korang sesuaikanlah dengan kemampuan masing-masing:

 
Kategori Penerima Cadangan Jumlah (RM) Nota
Ibu Bapa & Mertua RM100 - RM200 Sebagai tanda penghargaan tertinggi dan kasih sayang.
Adik Beradik RM30 - RM50 Ikut kemampuan dan bilangan adik-beradik yang dah kahwin/ada anak.
Anak Saudara Terdekat RM10 - RM20 Biasanya untuk anak-anak adik-beradik korang yang rapat.
Kanak-kanak Saudara Jauh RM5 - RM10 Boleh bagi sama rata untuk semua kanak-kanak dari saudara-mara yang datang beraya.
Kanak-kanak Kejiranan/Tetamu RM1 - RM2 Untuk meraikan & memeriahkan suasana rumah terbuka.
 

(Nota Penting: Ini hanyalah cadangan kami berdasarkan pemerhatian umum. Korang perlu sesuaikan dengan kemampuan kewangan peribadi dan bilangan penerima. Keikhlasan itu lebih utama dari jumlahnya!)

 

Keterangan Lanjut Setiap Kategori:


 
 
  • Keluarga Terdekat (Ibu Bapa, Mertua, Adik Beradik): Untuk kategori ni, biasanya jumlah yang diberi adalah paling besar. Ini adalah tanda penghargaan dan ingatan tulus ikhlas dari korang. Tak semestinya jumlah yang tertera, kalau korang mampu lebih, lagi bagus!
  • Anak Saudara & Kanak-kanak Saudara Jauh: Biasalah bila setahun sekali, pasti ada saudara-mara yang jauh datang berkunjung raya ke rumah korang. Pastinya ramai kanak-kanak dari saudara-mara ni excited nak dapat duit raya. Jumlah yang diberi selalunya lagi sikit berbanding dengan keluarga terdekat, tapi masih mencukupi untuk buat diorang senyum lebar.
  • Rombongan Raya Kanak-kanak Dari Area Rumah: Kategori ni memang seronok! Kadang-kadang budak-budak ni datang beramai-ramai dari kawasan perumahan lain, sampai dua kali datang beraya pun ada! Duit raya yang diberi biasanya paling sikit, tapi apa yang penting adalah tanda ingatan selain meraikan kanak-kanak yang dah datang konvoi raya dan meriahkan lagi suasana di hari raya.
 

3. Tak Sempat Tukar Duit Raya Baru? Ini Alternatif Moden Korang!


 
 

Dulu, tradisi tukar duit raya kat bank memang satu ritual wajib. Tapi sekarang, dengan kesibukan dan kadang-kadang stok duit baru yang terhad, ada je alternatif lain yang korang boleh pertimbangkan.

 

Cara Tradisional (Kalau Masih Suka Duit Baru):

 
  • Rancang Awal-awal: Kalau korang memang nak bagi duit raya fizikal yang baru dan wangi, rancanglah awal. Sesetengah bank dah buka tempahan tukaran duit raya secara online berminggu-minggu sebelum Raya. Korang boleh buat tempahan slot di portal bank masing-masing atau melalui sistem e-appointment Bank Negara Malaysia (BNM) yang selalunya dibuka sebelum musim perayaan.
  • Hubungi Bank: Untuk lebih pasti tentang stok duit raya yang ready, boleh call dulu cawangan bank yang korang nak pergi tu. Tak ada lah buang masa beratur lama-lama.
 

Alternatif Moden (E-Duit Raya): 
 

Zaman sekarang, ramai dah terbiasa dengan pembayaran tanpa tunai. Kalau korang tak sempat atau tak dapat tukar duit baru, jangan risau! E-duit raya adalah pilihan yang sangat praktikal dan semakin popular. Kami akan kupas lebih lanjut pasal e-duit raya ni di poin seterusnya.

 

4. Tips Susun Duit Raya Supaya Tak Tersalah Sampul & Jimat Masa!

 

Bila dah ada sistem bajet dan jumlah duit yang berbeza-beza, proses pembahagian duit raya boleh jadi kelam-kabut kalau tak diuruskan dengan baik. Kami cadangkan korang buat cara ni:

 
  • Asingkan Ikut Sampul Berbeza: Guna sampul raya dengan design atau warna yang berbeza untuk setiap amaun. Contohnya, sampul merah untuk RM10, sampul hijau untuk RM5, sampul biru untuk RM2.
  • Tulis Amaun Pada Sampul: Kalau korang risau terlupa, tulis terus amaun pada sampul atau pada post-it note yang dilekatkan pada sampul.
  • Susun Ikut Kategori: Susun sampul-sampul tu ikut kategori penerima (contoh: satu timbunan untuk anak saudara terdekat, satu lagi untuk kanak-kanak kejiranan). Bila tetamu datang, korang terus boleh capai sampul yang betul tanpa perlu teragak-agak.
 

Ini akan mudahkan korang nanti bila beraya, tak ada lah timbul isu tersalah atau tertukar duit raya, dan korang pun nampak lebih organized!

 

5. E-Duit Raya: Pilihan Cepat & Bijak (Tapi Kena Tahu Caranya!)

 

Seiring dengan kemajuan teknologi dan gaya hidup digital, pemberian duit raya secara online atau "e-duit raya" dah jadi makin relevan, terutamanya untuk tahun 2026 ke atas. Ini cara moden yang kami rasa patut korang pertimbangkan:

 

Kelebihan E-Duit Raya:

 
  • Jimat Masa & Tenaga: Tak perlu susah-susah beratur di bank, keluarkan duit, balik rumah bahagi dan asingkan. Fuh, memang jimat masa!
  • Lebih Selamat: Tak perlu bawa banyak tunai, mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian.
  • Boleh Bagi Walau Jauh: Kalau tak dapat beraya secara fizikal, korang masih boleh hantar duit raya secara online kepada sesiapa saja, di mana saja.
  • Mudah Catat: Kebanyakan platform digital akan ada rekod transaksi, jadi lebih mudah untuk korang track perbelanjaan duit raya.
 

Bagaimana Nak Bagi E-Duit Raya?

 

Sekarang ni, banyak platform korang boleh guna macam aplikasi online banking (Maybank2U, CIMB Clicks, Public Bank, dll.), e-wallet (Touch 'n Go eWallet, GrabPay, ShopeePay) atau terus guna DuitNow.

 

Tips Penting Bila Bagi E-Duit Raya:

 
  • Kenalpasti Penerima: Memang kebanyakan budak-budak zaman sekarang dah ada handphone, tapi tak semestinya diorang ada akses untuk online banking atau e-wallet. Jadi, apa korang boleh buat adalah:
    • Transfer Kepada Ibu Bapa: Untuk kanak-kanak kecil, cara paling praktikal adalah transfer duit raya kepada akaun ibu bapa diorang. Tapi, pesanlah baik-baik supaya duit tu diberikan kepada anak-anak!
    • Minta Nombor Akaun Anak: Kalau nak lagi bagus, mintalah nombor akaun bank anak-anak diorang (jika ada). Dengan cara ni, duit raya dapat bagi terus kat penerima.
    • Tanya Platform Yang Digunakan: Untuk anak-anak buah atau remaja yang dah ada akses online banking atau e-wallet, tanya dulu platform mana diorang guna. Kadang-kadang, korang guna GrabPay, tapi diorang guna Touch 'n Go eWallet. Jadi, untuk lebih senang, mintak je awal-awal nombor akaun bank atau ID e-wallet diorang. Bila dah Raya, korang transfer lah – senang hidup!
 

Memang ada sedikit usaha tambahan untuk tahu platform mana yang sesuai, tapi percayalah, ia akan mudahkan urusan korang nanti.

 

6. INGAT: Ikhlas Itu Penting, Bukan Jumlah Semata-mata!


 
 

Akhir sekali, janganlah terlalu risau dengan amaun duit raya yang korang bagi tu. Amaun duit raya bukanlah penanda aras segala-galanya. Apa yang penting adalah keikhlasan dalam memberi.

 

Asalkan korang bagi dengan ikhlas dan mengikut kemampuan, tak jadi masalah pun. Duit raya hanyalah sebahagian kecil daripada kemeriahan Hari Raya. Apa yang lebih berharga adalah masa bersama keluarga, mengeratkan silaturrahim, dan semangat perayaan yang diraikan bersama.

 

Korang pulak macam mana? Cuba share pandangan atau tips pasal berapa banyak duit raya nak kena bagi atau cara korang bajet di ruangan komen Facebook kami!

 

Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Duit Raya:

 

Q1: Adakah wajib bagi duit raya dalam Islam atau adat Melayu?
A1: Tidak, ia bukanlah wajib dalam Islam. Pemberian duit raya lebih kepada adat tradisi dan budaya Melayu sebagai tanda sedekah, penghargaan, dan kegembiraan di hari raya. Ia adalah amalan yang digalakkan, bukan kewajipan agama.

 

Q2: Bagaimana nak jimat bajet Raya secara keseluruhan, bukan hanya duit raya?
A2: Mulakan dengan bajet awal untuk semua perbelanjaan Raya (makanan, baju, hiasan, duit raya). Bandingkan harga, beli barang keperluan sahaja, masak sendiri jika boleh, dan pertimbangkan untuk guna semula hiasan tahun lepas. Utamakan apa yang penting dan elakkan pembaziran.

 

Q3: Apa kelebihan utama bagi e-duit raya berbanding tunai?
A3: E-duit raya lebih praktikal, selamat (tidak perlu bawa tunai banyak), jimat masa (tak perlu beratur di bank), dan membolehkan pemberian jarak jauh. Ia juga selaras dengan trend pembayaran digital yang semakin meluas.

 

Q4: Bila waktu terbaik untuk mula kumpul duit raya?
A4: Sebaiknya mula menabung untuk duit raya sebaik sahaja lepas Raya tahun sebelumnya, atau sekurang-kurangnya 3-6 bulan sebelum Hari Raya. Dengan menabung secara konsisten, beban kewangan tidak akan terlalu terasa. Ini adalah amalan pengurusan kewangan yang baik yang sentiasa digalakkan oleh BNM.

 

Q5: Apa patut kami buat kalau ada anak saudara yang ramai sangat datang beraya?
A5: Tetapkan had maksimum bajet duit raya dan bahagikan secara sama rata untuk kanak-kanak dalam kategori yang sama. Jangan rasa bersalah untuk memberi amaun yang lebih kecil (contoh RM1-RM2) jika bilangan mereka ramai. Keikhlasan itu lebih penting, dan setiap pemberian, tak kira berapa pun, tetap dihargai.

 

Penutup


Kita beraya di zoom and bukan zoom balik kampung. Selamat Hari Raya  Aidilfitri, Maaf zahir dan batin. - 9GAG  


Kami harap panduan ini dapat membantu korang merancang bajet duit raya untuk Hari Raya 2026 dengan lebih tenang dan bijak. Ingatlah, kemeriahan Raya bukan terletak pada jumlah duit raya, tetapi pada kebersamaan dan kegembiraan yang dikongsi.

 

Nak tahu lebih lanjut pasal pengurusan kewangan peribadi atau nak bandingkan produk kewangan lain untuk bantu korang mencapai matlamat kewangan? Jom semak artikel dan kalkulator kami di Loanstreet! Selamat Hari Raya dari kami, geng Loanstreet! Akhir kata, walaupun macam awal lagi - Selamat Hari Raya dari kami, geng Loanstreet!
 

*Artikel di atas bertujuan untuk memberi maklumat sahaja. Loanstreet tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul jika ada sebarang kebergantungan anda dengan maklumat yang terdapat dalam artikel.

Teruskan membaca...

Tentang Penulis

Nursabihah Zainuddin

Seorang penulis artikel sambilan, Sabihah gemar menulis artikel topik kewangan. Katanya, “Ada ilmu, baru berduit!”

LIHAT SEMUA ARTIKEL

Artikel Disarankan Untuk Anda

Kesan Ringgit Jatuh: Siapa Untung & Siapa Rugi?

Kesan Ringgit Jatuh: Siapa Untung & Siapa Rugi?

RON95 ke RON97?

HARGA MINYAK MINGGUAN Terkini (RON95, RON97 & Diesel)

Nak Melabur? Jangan Lepaskan Promo Simpanan Tetap Terbaik di Malaysia 2026

Promo Simpanan Tetap (FD) Terbaik Malaysia 2026